Pertandingan Pelajar

Saya sering menggalakkan para pelajar prasiswazah daripada program Pengurusan Teknologi (Pembinaan) – BPC untuk turut menyertai pelbagai pertandingan anjuran mana-mana jabatan/fakulti/universiti yang berkaitan contohnya seperti pertandingan pontoon ini. 

Walaupun saya sejak dulu tidak berkhidmat di mana-mana fakulti kejuruteraan, saya tidak pernah mendapat elaun kritikal dan saya juga mengajar program yang tidak diakreditasi sebagai program kejuruteraan, namun saya pernah dan masih mengajar kursus-kursus berkaitan kejuruteraan awam seperti Bahan Binaan dan Pengujian, Mekanik Tanah, Analisis Struktur serta Rekabentuk Struktur kepada para pelajar ini di bawah program BPC.

Untuk pengetahuan, program kami tidak bermatlamat untuk menghasilkan para jurutera, tetapi matlamat BPC adalah untuk melahirkan teknologis di dalam bidang pembinaan. Antara kerjaya yang boleh diteroka oleh graduan program BPC termasuklah Pengurus Pembinaan, Penolong Pengurus Projek, Penolong Pengurus Pembinaan, Penyelaras Projek, Agen Tapak, Penyelia Tapak, Kerani Tapak, serta Pegawai Eksekutif Projek.

Penawaran program BPC ini adalah sejajar dengan keperluan industri, universiti dan fakulti. Program  BPC ini telah ditawarkan sejak tahun 2002 lagi, iaitu sejak 22 tahun yang lalu. Beribu graduan yang telah dihasilkan melalui program BPC ini yangmana lebih 90% daripada mereka  sedang berkhidmat di dalam bidang pembinaan di dalam serta di luar negara. Jika ada pembaca tulisan saya ini berminat untuk mengetahui berkenaan program Pengurusan Teknologi (Pembinaan) – BPC dengan lebih lanjut, bolehlah melayari pautan ini.

Inilah keistimewaan BPC dimana dibawah satu program para pelajar kami akan belajar pelbagai kursus di dalam bidang pembinaan. Ini termasuklah kursus-kursus berkaitan kejuruteraan awam, pengurusan alam sekitar, ukur bahan, ukur tanah, teknologi  bangunan, pengurusan teknologi, pengurusan sumber manusia, keusahawanan, pengurusan projek, ekonomi pembinaan, pengurusan risiko, pengurusan strategi dan sebagainya.

Asbab saya menyertai Jabatan Pengurusan Pembinaan sejak saya bergelar tutor pada tahun 2007 lagi, maka saya dapat ‘tailor’ pendidikan tertiari saya ke arah pengurusan kejuruteraan dan pengurusan alam sekitar bersepadu dengan menggunakan kajian kes di dalam bidang pembinaan mengikut pengalaman saya semasa bekerja di syarikat pembinaan swasta dahulu. Ijazah master dan PhD saya pula daripada UPM dan Imperial College London, yangmana semua pasti tahu ini adalah antara universiti-universiti terbaik diperingkat lokal dan antarabangsa.

Asbab saya juga pernah bekerja di syarikat pembinaan swasta iaitu di syarikat kontraktor utama dan konsultan, saya dapat melihat suasana yang ada di dalam industri pembinaan. Saya yakin apa yang kami tawarkan di dalam program BPC adalah sangat mencerminkan apa yang ada di syarikat-syarikat ini. Ini disokong oleh ‘market survey’ yang telah dibuat untuk program BPC ini. Saban tahun, program BPC ini juga telah menerima komen membina daripada pelbagai pakar akademik dan pakar industri dari dalam dan luar negara untuk memperkukuhkan lagi program yang kami tawarkan. 

Jadi, pendek kata saya layak untuk mengajar apa yang selama ini saya ajar kepada para pelajar saya di program BPC. Saya mempunyai kelayakan dalam bidang profesional, pendidikan dan pengalaman yang membolehkan saya untuk mengajar apa yang saya ajar kepada pelajar.

Saya suka untuk para pelajar saya terlibat di dalam pertandingan mahupun penyelidikan semacam ini supaya mereka boleh mendapatkan pendedahan dan latihan yang sewajarnya. Boleh dilihat di dalam gambar-gambar ini yang para pelajar turut gembira dalam menyelesaikan tugasan mereka. Kepuasan melihat senyuman mereka ini yang selalu dicari tapi agak sukar untuk didapati diwaktu pasca COVID ini. 

Yang lebih kelakar, di tahun 2024 ini masih ada lagi pihak yang menganggap kami pelik, tidak kurang juga mempersoalkan tentang hasil kajian para pelajar saya sebab kami bukanlah daripada program kejuruteraan, tapi para pelajar ini mampu pula untuk membuat kajian yang bersifat kejuruteraan, contohnya seperti pembuatan konkrit sebagai bahan binaan bangunan.

Antara soalan atau ayat penyata yang acapkali saya dengar adalah:-

‘Betul ke apa yang mereka buat ni?’.

‘Eh, mereka belajar basic sahajakan, apa perlunya sampai mahu buat kajian kejuruteraan semacam ini?’.

‘Eh, apa kamu buat ni salah ni! Kena tambah bahan itu, kena tambah bahan ini’. * Sedangkan realitinya keunikan kajian pembuatan konkrit seperti ini adalah sangat bergantung kepada admixture yang digunakan di dalam kajian, bukanlah boleh semborono dicadang untuk  bahan ditambah itu dan ini melalui sekali imbas pandangan sahaja oleh mereka yang bukan ahli projek penyelidikan yang sedang dijalankan. Ada kajian literatur yang telah dijalankan untuk membentuk kaedah kajian yang telah dipilih, sebelum kami masuk untuk menggunakan makmal.

Di atas ini adalah antara soalan serta ayat penyata yang saya pernah terima. Kadang-kadang manusia boleh jadi takut atas sesuatu yang mereka tak tahu. Jadi saya jawab dengan tenang dan terangkan kepada mereka apa yang saya telah terangkan seperti di atas. 

Maafkanlah kami ini, kami bukan mahu bersaing dengan sesiapapun, kami hanya mahu belajar.

Pandangan saya, marilah kita semua bersama-sama meraikan minat para pelajar ini serta minat tenaga pensyarah untuk sama-sama belajar ilmu Allah swt yang Maha Luas ini. Janganlah dikecilkan skopnya.

Saya percaya semuanya berbalik semula kepada tujuan utama untuk berkhidmat di universiti adalah untuk membina negara melalui pendidikan modal insan. Ucapkanlah perkataan yang baik-baik supaya ia menjadi doa yang mustajab.

Semoga semua para pelajar BPC sentiasa gembira, dirahmati dan dilindungiNya sentiasa, amin yra.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *