Lepas habis degree di UTM Skudai dulu, saya mula bekerja di UTM KL. Saya join sebagai Research Assistant pada tahun 2003 untuk projek penyelidikan konkrit ringan. Masa saya jadi jurutera di syarikat kontraktor utama, pengalaman saya tidak menyentuh hal konkrit, waktu di konsultanpun sama. Sikit-sikit tu adalah, tapi tidaklah sampai kena masuk makmal gaul konkrit. Setakat tengok slump test dibuat sahaja di tapak masa saya dihantar oleh syarikat untuk latihan di site North Butterworth Container Terminal (NBCT) dulu. Tapi waktu saya jadi pensyarah sejak 2014 ramai pula pelajar PSM saya yang berminat untuk buat kajian tentang konkrit dan bata ini, jadi saya raikan sahajalah minat para pelajar ini.
Saya hanya bersandarkan pengalaman gaul konkrit di UTM Skudai semasa belajar degree dalam Kejuruteraan Awam, di UTM KL semasa jadi RA buat penyelidikan konkrit ringan serta pengalaman di NBCT masa buat slump test untuk membolehkan saya mengajar para pelajar ini bab gaul konkrit dan bata. Disamping itu, saya juga bersandarkan kepada pengalaman menyelia para pelajar di dalam projek sarjana muda mereka sejak 2014 dahulu.
Seingat saya penyelidikan waktu saya di UTM KL tahun 2003 dulu guna foam sebagai admixture dalam pembuatan konkrit ringan. Ada laporan yang dikeluarkan hasil penyelidikan ini yang masih boleh diakses melalui internet untuk dibuat rujukan. Saya dan pelajar juga pernah gunakan sedimen hasil projek korekan sungai dan laut sebagai bahan dalam pembuatan konkrit dan bata. Ada sebuah buku terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka yang sudahpun terhasil untuk ini. 4 orang bekas anak PSM saya yang menyumbang di dalam buku ini juga turut menerima royalti setiap tahun daripada DBP atas hasil penjualan buku yang tersebut, sama jumlah peratusannya seperti saya. Saya dan pelajar PSM juga pernah menggunakan plastik serta bahan agro terbuang seperti POFA dan sekam padi sebagai bahan gantian pasir, aggregat dan simen dalam pembuatan bahan binaan termasuk konkrit dan bata. Ada satu manuskrip berkenaan ini yang akan diterbitkan oleh DBP dan sedang saya buat pembetulan. Selain daripada buku, ada juga kajian-kajian pelajar PSM saya yang sudah diterbitkan sebagai artikel jurnal mahupun prosiding. Makna kata, jika kajian yang dibuat oleh para pelajar PSM saya itu terbaik dipandangan mata saya serta ada potensi untuk diterbitkan, para pelajar ini juga akan turut menerima kebaikannya berpanjangan. Jika bukan kebaikan daripada segi kewangan, insyaAllah akan ada kebaikan di akhirat nanti hasil penyebaran ilmu yang digunapakai. *Dalam Islam, ada 3 perkara yang kita ada/buat semasa masih hidup yang masih boleh memberikan keuntungan kepada kita selepas kita mati iaitu doa anak yang soleh, amal jariah serta ilmu yang digunapakai, wallahualam.
Kali ini pelajar saya berminat untuk guna semula bahan terbuang yang ada di sekeliling universiti sebagai usaha untuk membersihkan alam sekitar serta sebagai usaha untuk mengurangkan kos pembinaan. Pagi tadi pelajar PSM saya ini baru sahaja mencuba untuk gaul satu concrete mixture menggunakan bahan terbuang nak tengok water cement rationya yang optimum.
Saya sukakan pelajar yang rajin, mahu belajar serta mahu bersusah-payah, tak kira apa jenis kajian sekalipun yang dibuat. Ikut trend, sekarang ni ramai yang lebih suka ambil jalan mudah, kalau boleh nak main komputer dalam bilik beraircond sahaja. Tapi tak mengapalah, itukan pilihan masing-masing. Ilmu Allah ni luas. Carilah apa sahaja ilmu yang boleh mendatangkan manfaat. Para pelajar PSM saya yang lainpun ramai juga yang buat penyelidikan selain berkaitan konkrit dan bata. Sekarang cuma 1:3 sahaja pelajar PSM saya yang minat untuk buat kerja-kerja melibatkan makmal ni. Ia adalah satu kelebihan bila kami berada di dalam bidang Pengurusan Pembinaan, satu cabang ilmu yang sangat luas untuk dieksplorasi bersama. Tambahan lagi, jenis penyelidikan adalah mengikut peredaran zaman yang banyak berubah disebabkan adanya kemajuan dalam teknologi. Sebagai pensyarah, saya meraikan sahaja minat para pelajar dalam membuat penyelidikan serta cuba untuk membimbing mereka sebaik yang saya boleh.
Tadi pelajar ada buat 3 cube control mixture 100mm x 100mm x 100mm ikut metodologi kajian terdahulu, tapi kering nampaknya bila guna water cement ratio yang sama dengan kajian lepas iaitu 0.4. Air adalah bahan penting yang menentukan kekuatan konkrit. Terlebih air, kebolehkerjaan boleh jadi tinggi tetapi kekuatan rendah, begitu juga sebaliknya. Jadinya esok beliau kena ubah water cement ratio untuk a new control mixture. Kalau ikut kajian terdahulu, peratus bahan terbuang yang telah digunakan untuk concrete adalah 5%, 10% dan 15% dengan 0.4 water cement ratio, menggunakan mixture 1:2:4 untuk capai compressive strength 15MPa pada 28 hari. Ada 12 cube yang akan dihasilkan nanti untuk ujikaji kekuatan mampatan kiub pada 7, 14 dan 28 hari. InsyaAllah esok saya ada dimakmal untuk lihat dan bimbing beliau buat kerja makmal ini. Pelajar ini memang hadir diwaktu cuti semester untuk selesaikan penyelidikannya. Bukan nak melebihkan pelajar yang seorang ini tapi kerja konkrit memang tak boleh dibuat seorang, kebetulan pula yang jaga makmal ada mesyuarat jadi perlukan kehadiran saya disitu.
Apa-apapun saya doakan semoga para pelajar PSM saya berjaya menghasilkan penyelidikan terbaik untuk dirinya serta untuk kebaikan sejagat. Amin yra. Semoga berjaya.