PENDIGITALAN PELAN BANGUNAN UNTUK ANALISIS KECEKAPAN PENGGUNAAN RUANG
Oleh: PM Dr Norpadzlihatun Manap dan Vishvajit Sivaram
1.1 PENGENALAN
Pengurusan ruang adalah sebahagian daripada proses reka bentuk bangunan, sebagai contoh untuk pembahagian bilik mengikut fungsi, penyediaan ruang pergerakan, penentuan susunan dan bilangan peralatan elektrik serta perabot [1]. Pengurusan ruang yang cekap akan memberi keuntungan kepada pemilik sesebuah bangunan contohnya melalui hasil sewaan ruang. Namun, kebanyakan bangunan sedia ada yang telah lama dibina tidak mempunyai pelan bangunan di dalam bentuk yang boleh digunapakai oleh kebanyakan teknologi perisian terkini [2]. Permasalahan ini menyukarkan pemilik sesebuah bangunan untuk mengetahui kadar kecekapan penggunaan ruang bangunan milik mereka, lantas mengurangkan kecekapan bangunan yang tersebut. Maka, pendigitalan pelan bangunan adalah diperlukan.
Pengurusan ruang boleh dilakukan menggunakan teknologi perisian terkini iaitu ARCHIBUS. Perisian ARCHIBUS adalah satu platform bagi Sistem Pengurusan Tempat Kerja Bersepadu (‘Integrated Workspace Management System’) yang telah dibangunkan oleh Archibus Inc. untuk kegunaan pelbagai bidang termasuk bidang pengurusan fasiliti, pembinaan dan hartanah. Perisian ARCHIBUS dibina untuk mengatur operasi fasiliti termasuk bangunan bagi memastikan ia boleh berfungsi dengan efisien. Antara kegunaan perisian ini adalah untuk menganalisis prestasi bangunan berdasarkan kepada domain pengurusan ruang. ARCHIBUS membolehkan integrasi dua hala bersama perisian reka bentuk bangunan seperti AutoCAD dan Revit bagi pelbagai tujuan termasuk untuk tujuan analisis kecekapan penggunaan ruang [3].
Penulisan ini akan membentangkan aliran kerja dan hasil projek yang telah dilaksanakan oleh para pelajar Tahun 1 (Semester 1) daripada program Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Teknologi (Pembinaan) Dengan Kepujian yang mengambil kursus Lukisan Pembinaan.
Projek ini dijalankan di bangunan milik Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) (Rajah 1.1). Objektif projek ini adalah; pertama mendigitalkan pelan bangunan, dan kedua menganalisis kadar kecekapan penggunaan ruang. Skop projek ini adalah bangunan G7 di kampus bandar UTHM, Parit Raja, Batu Pahat, Johor. Bangunan ini dipilih setelah perbincangan diadakan bersama pihak berwajib universiti berkenaan kewujudan pelan bangunan ini yang tidak mesra teknologi terkini. Metodologi kajian ini adalah berbentuk eksperimental melalui kaedah simulasi pelan bangunan menggunakan perisian AutoCAD, manakala analisis projek ini adalah menggunakan perisian ARCHIBUS bagi mendapatkan kadar kecekapan penggunaan ruang.
Projek ini signifikan kepada para pelajar Tahun 1 kerana semasa projek ini berlangsung mereka didedahkan kepada pelbagai perisian yang digunakan untuk melukis dan menganalisis pelan bangunan yangmana mampu meningkatkan kebolehpasaran para pelajar UTHM. Manakala pihak universiti pula mendapat manfaat hasil daripada projek ini melalui pendigitalan pelan lukisan bangunan G7 yang mesra teknologi terkini, serta pihak universiti dapat mengetahui kadar kecekapan terkini bangunan G7 supaya kecekapannya dapat dioptimakan dimasa hadapan.
Rajah 1.1: Bangunan G7
1.2 ALIRAN KERJA
Rajah 1.2 menunjukkan aliran kerja bagi tujuan analisis kecekapan penggunaan ruang bangunan G7. Projek ini dimulakan dengan mendapatkan salinan pelan bangunan G7 daripada pihak berwajib universiti. Oleh kerana salinan pelan bangunan ini adalah di dalam bentuk ‘pdf’ yang tidak mengikut skala, maka pendigitalan pelan bangunan ini harus dilakukan dengan menggunakan perisian AutoCAD bagi membolehkan analisis kecekapan penggunaan ruang dapat dilakukan.
Bagi membolehkan maklumat ruang di dalam AutoCAD dapat dibaca oleh perisian ARCHIBUS untuk tujuan analisis, terdapat beberapa peraturan yang perlu diikut termasuk menggunakan garisan ‘polyline’ bersama ‘layer’ yang khusus dinamakan sebagai ‘RM’ dan garisan hanya boleh diwarnakan dengan warna ‘cyan’ [3].
Selepas pendigitalan pelan bangunan selesai, ia diintegrasikan ke dalam perisian ARCHIBUS untuk tujuan analisis kecekapan penggunaan ruang. Inventori ruang perlu dilaksanakan bagi mendapatkan maklumat sedia ada ruang di dalam bangunan yangmana maklumat ini akan dimasukkan ke ‘Space Console’ di dalam perisian ARCHIBUS. Penomboran ruang harus mengikut Garis Panduan dan Peraturan bagi Perancangan Bangunan [4] dan Sistem Kod Aset Tak Alih (SKATA) [5]. Analisis kecekapan penggunaan ruang dapat dilaksanakan sebaik semua maklumat ruang selesai dimasukkan. Langkah-langkah yang lebih terperinci diterangkan diperenggan dibawah.
Rajah 1.2: Aliran Kerja
1.2.1 Langkah 1
Dapatkan salinan pelan bangunan dalam bentuk ‘hardcopy’ (Rajah 1.3), lakukan tinjauan tapak, ukur ketepatan dimensi pelan (Rajah 1.4) dan lakukan inventori ruang di kawasan kajian.
Rajah 1.3: Pelan bangunan G7
Rajah 1.4: Pengukuran ketepatan dimensi
1.2.2 Langkah 2
Proses pendigitalan pelan bangunan G7 dimulakan dengan melukis semula pelan bangunan menggunakan perisian AutoCAD (Rajah 1.5).
Rajah 1.5: Pendigitalan pelan bangunan G7
1.2.3 Langkah 3
Masukkan maklumat inventori ruang ke dalam perisian ARCHIBUS (Rajah 1.6).
Rajah 1.6: Maklumat inventori ruang
1.2.4 Langkah 4
Integrasikan lukisan pelan bangunan di AutoCAD ke dalam ARCHIBUS (Rajah 1.7) dan lakukan analisis kecekapan penggunaan ruang. Kadar kecekapan penggunaan ruang dikira menggunakan persamaan (1) [3].
Rajah 1.7: Integrasi pelan bangunan AutoCAD dan ARCHIBUS
1.3 HASIL PROJEK
Projek para pelajar ini telah berjaya dilaksanakan dan mencapai kedua-dua objektif yang telah ditetapkan iaitu; pertama mendigitalkan pelan bangunan, dan kedua menganalisis kadar kecekapan penggunaan ruang.
1.3.1 Hasil objektif 1
Rajah 1.8 menunjukkan hasil objektif 1 iaitu mendigitalkan pelan bangunan G7.
Rajah 1.8: Hasil objektif 1
1.3.2 Hasil objektif 2
Rajah 1.9 menunjukkan hasil objektif 2 iaitu menganalisis kadar kecekapan penggunaan ruang. Hasil projek ini menunjukkan bahawa kadar kecekapan penggunaan ruang bagi bangunan G7 adalah 42.69%.
Rajah 1.9: Hasil objektif 2
1.4 PERBINCANGAN HASIL PROJEK
Hasil projek ini membolehkan pelan bangunan G7 yang telah didigitalkan diguna untuk analisis di masa hadapan oleh pengurus perisian ARCHIBUS di dalam domain yang lain bagi tujuan pengurusan aset secara digital (‘Digital Asset Management’) [6]. Domain lain ini termasuk domain kelestarian dan pengurusan risiko (‘Sustainability and risk management’), operasi bangunan dan penyelenggaraan (‘Building operations and maintenance’), pengurusan projek kapital (‘Capital Project Management’, pengurusan aset (‘Asset Management’), pengurusan harta tanah (‘Real estate property’) dan perkhidmatan tempat kerja (‘Workplace services’) [3].
Manakala, hasil analisis kecekapan penggunaan ruang di bangunan G7 menunjukkan cuma 42.69% sahaja ruang yang telah digunakan berdasarkan kepada pengiraan kadar U/R (‘Usable area/Rentable area’). Ini menunjukkan bahawa lebih daripada 50% ruang sedia ada di bangunan G7 yang boleh diguna untuk disewa bagi memperoleh keuntungan hasil daripada sewaan ruang. Contoh sewaan ruang ini termasuk sewaan ruang perbincangan, sewaan pejabat, mahupun sewaan dewan persidangan kepada pihak yang berminat.
1.5 KESIMPULAN
Kesimpulannya, projek ini berjaya mendigitalkan pelan bangunan menggunakan perisian AutoCad, serta mengintegrasikannya ke dalam perisian ARCHIBUS, lantas dapat menganalisis kadar kecekapan penggunaan ruang bangunan G7. Ini membolehkan para pelajar mengetahui bahawa alat pengurusan fasiliti seperti perisian ARCHIBUS boleh membantu pemilik bangunan untuk menggunakan ruang dengan cara inovatif bagi meningkatkan kapasiti ruang, serta mampu untuk membayangkan penggunaan dan keperluan ruang dimasa hadapan. Selain daripada itu, para pelajar dapat mengetahui bahawa pengurusan ruang melalui teknologi perisian terkini seperti ARCHIBUS sangat penting kepada sesebuah organisasi kerana ia akan menjadikannya lebih mudah untuk memberi visual berkenaan ruang bangunan, mudah untuk mengurus data bangunan dan dapat mengoptimakan penggunaan ruang sambil mengurangkan kos yang tidak perlu hasil daripada pengurusan ruang yang tidak cekap.
BIBLIOGRAPHY
- Jabatan Kerja Raya Malaysia (2021). BIM: Garis Panduan JKR Edisi Kedua https://www.jkr.gov.my/sites/default/files/upload/BIM_GARIS%20PANDUAN%20JKR.pdf
- Chen Z, Chen L, Zhou X, Huang L, Sandanayake M, Yap P-S. (2024). Recent Technological Advancements in BIM and LCA Integration for Sustainable Construction: A Review. Sustainability. 2024; 16(3):1340. https://doi.org/10.3390/su16031340
- Eptura, Inc. (2023). ARCHIBUS User Help Version 2024.02 https://help.archibus.com/user_en_v2024.02/archibus.htm
- Unit Perancang Ekonomi (2015). Garis Panduan dan Peraturan bagi Perancangan Bangunan. https://www.ekonomi.gov.my/sites/default/files/2020-03/3.EPU_GP%20Perancangan%20Bangunan%202015_Bhg_1.pdf
- Jabatan Perdana Menteri Malaysia (2012). Sistem Kod Aset Tak Alih. https://www.jpm.gov.my/images/PDF/pekeliling_am/Pekeliling_Am_Bil_3_Tahun_2012_-_SKATA.pdf
- Alkhard, A. (2024). Leveraging Digital Asset Management and Meta-Data Integration for Enhanced Asset Management. Construction Economics and Building, 24(3). https://doi.org/10.5130/AJCEB.v24i3.8741

